Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
BKISHHB tumpuan lawatan Presiden Republik Kosovo
05/05/2025

 


Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menjadi tumpuan dan salah satu destinasi termasuk dalam program Lawatan Negara Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu dan First Gentleman, Mr. Prindon Sadriu berserta rombongan pada kali ini.

Kedatangan Presiden Republik Kosovo dan rombongan di sini dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.

Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu kemudian menandatangani buku kedatangan lawatan dan seterusnya menerima cenderamata.

Setelah itu, Presiden Republik Kosovo berkesempatan membuat lawatan ke galeri balai berkenaan sambil diberikan taklimat oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.

BKISHHB, sebuah seni bina Islam ikonik yang megah dan moden direka oleh arkitek terkemuka PEI Architects dan dibina di atas salah satu kawasan tertinggi di Bandar Seri Begawan dan terletak di Jalan Pengiran Babu Raja, kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar.

BKISHHB telah dibuka secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Safar 1441 Hijrah bersamaan 12 Oktober 2019 Masihi.

Selain itu, BKISHHB berkenaan juga merupakan manifestasi kepimpinan intelektual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melestarikan, memperkasa dan memelihara tamadun dan budaya Islam serta mempromosi ilmu dan warisan Islam secara global.

Terdapat sembilan galeri kekal yang mempamerkan koleksi khazanah Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia merangkumi pelbagai artifak seperti Mushaf Al-Quran, manuskrip Arab, Parsi dan Melayu; tasbih, tongkat, fosil, alat astronomi Islam, serta Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cebisan burdah, replika pedang Nabi dan para sahabatnya, dan banyak lagi.

BKISHHB juga mempunyai beberapa kemudahan bertaraf dunia termasuk auditorium, bilik persidangan, bilik mesyuarat, ruang orang kenamaan, makmal pemuliharaan dan surau.

Seni bina yang indah dan koleksi khazanah Islam berkenaan diharapkan dapat menjadikannya mercu tanda sebagai pusat sehenti destinasi pelancongan Islam.

Galeri 1, iaitu Kebestarian Raja mengongsikan kebestarian yang dimiliki oleh Kebawah DYMM dari segi keperibadian, Intelektualisme  dan kepimpinan Kebawah DYMM dalam pelbagai aspek. Melalui galeri berkenaan, para pengunjung dapat melihat bagaimana baginda menjadikan dan memartabatkan agama Islam sebagai pegangan dan panduan dalam pemerintahan dengan berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir sehingga rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dapat menikmati pelbagai bentuk pembangunan dan kemajuan.

Sementara Galeri 2, iaitu Mushaf Al-Quran adalah kalam Allah yang mengandungi mukjizat, diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui perantaraan Malaikat Jibril, ditulis dalam mushaf dan disampaikan kepada umat secara mutawatir. Membaca Al-Quran merupakan satu ibadah. Istilah mushaf diambil daripada perkataan Sahifah bermaksud helaian dan lembaran. Mushaf merujuk kepada kitab atau buku yang ditulis di dalamnya kalam Allah, iaitu ayat-ayat Al-Quran.

Manakala Galeri 3, iaitu Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk seluruh umat. Galeri berkenaan adalah galeri yang sangat istimewa, disediakan khas untuk memperingati Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai utusan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sementara Galeri 4, iaitu Athar Sahabat mempamerkan bahan koleksi peninggalan para sahabat yang sudah setentunya dapat dijadikan sebagai bahan rujukan sejarah dan peninggalan warisan umat Islam. Antara koleksi bahan dipamerkan di galeri berkenaan adalah seperti replika Al-Quran Sayyidina 'Utsman, pedang Khalifah ar-Rasyidin dan para sahabat lain seperti Ja'far at-Tayyar, Khalid bin al-Walid, 'Ammar bin Yasir, az-Zubair bin al-'Awwam dan Mu'az bin Jabal.

Manakala Galeri 5, iaitu Warisan Ilmu I mempamerkan koleksi manuskrip dalam bidang pelbagai ilmu agama dan sains. Terdapat lebih 100 buah naskhah manuskrip dipamerkan di galeri berkenaan hasil karya para ulama dan cendekiawan Islam terkenal dari zaman dahulu, seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Bukhari, Imam al-Qastallani, dan ramai lagi yang mahir dalam bidang masing-masing.

Sementara Galeri 6, iaitu Warisan Ilmu II pula merupakan kesinambungan dari Galeri 5 yang mempamerkan hampir 100 buah naskhah manuskrip merangkumi pelbagai bidang seperti tafsir, Tarikh/Sirah, ilmu perundangan Islam, Qasidah, syair, adab dan akhlak, ilmu Al-Quran, ilmu perubatan dan sebagainya yang dikarang dalam bahasa Arab dan bahasa Parsi.

Sementara Galeri 7, iaitu Tanda-tanda Kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala mempamerkan pelbagai tanda kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala, bertujuan untuk membantu pengunjung menghayati dan memahami keagungan dan keindahan ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Manakala, Galeri 8, iaitu Astronomi mempamerkan pelbagai alat yang digunakan oleh ahli astronomi Islam pada zaman dahulu, seperti astrolab, rubu' mujayyab, rubu' mujannah, teleskop, teodolit, dan alat pengukur hujan. Selain mencerminkan khazanah langit dan bumi yang membuktikan kebesaran serta kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala, galeri berkenaan mengongsikan ilmu pengetahuan mengenai bidang astronomi melalui tayangan video, yang merangkumi perkembangan astronomi Islam, tokoh ilmuwan astronomi Islam, perbezaan jarak hala kiblat di beberapa tempat, serta penyusunan kalendar Islam.

Manakala Galeri 9, iaitu Kesenian Islam, Tongkat dan Tasbih mempamerkan pelbagai jenis kesenian Islam seperti kesenian khat (kaligrafi), ukiran, binaan, tongkat, tasbih dan lain-lain. Kesenian Islam terdapat di galeri berkenaan adalah bersumberkan kepada Al-Quran, hadis, alam semula jadi, persekitaran dan budaya masyarakat yang mempunyai nilai-nilai estetik, etika dan tauhid (pengabdian kepada Allah).

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto